Monday, May 7, 2007

Guru dan Allahyarham SN Dato' Dr. Usman Awang

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
- Usman Awang


Kehebatan guru telah diabadikan olehAllahyarham SN Dato' Dr. Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November 2001) dalam sajaknya yang tersohor:

Guru Oh Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan Allahyarham SN Dato' Dr. Usman Awang(1979)

Saya kurang pasti bila sajak ini diungkapkan dan di mana. Jika tahun 1979, saya baru berusia 9 tahun ketika itu (Darjah 3 di SK Padang Setar). Saya hairan juga kenapa Allahyarham membandingkan sekolah mewah di ibu kota dengan sekolah yang sudah uzur di Hulu Terengganu. Agaknya sekolah manalah yang digambarkan oleh Allahyarham. Sekolah saya masa tu dah bangunan batu (masih baru).

No comments: