Monday, May 14, 2007

SELAMAT HARI IBU

Ketika pulang dari sekolah hari Jumaat lepas aku terdengar siaran Al-Lughah Al-Jamilah kelolaan Mona Jasman dan Ustaz Arshad. Topik hari ini ialah berkenaan dengan sambutan Hari Ibu.

Pemanggil-pemanggil membuat panggilan dalam Bahasa Arab. Mereka ditanya tentang sambutan Hari Ibu dan juga bagaimana mereka menyatakan penghargaan mereka kepada ibu mereka.

Malangnya, siaran tersebut tidak berapa jelas kerana para pemanggil tidak menutup@menjauhkan radio ketika membuat panggilan.

Berkali-kali Mona Jasman mengingat "Ibta'id al Mizya' lau samahta", tapi tidak diendahkan. Mungkin tidak faham.

Saya tertarik dengan seorang pemanggil, yang menyatakan orang melayu tidak berani atau malu menyatakan kepada ibu-ibu mereka "Ibu, saya sayang ibu". Saya tidak tahu sejauhmanakah kebenaran kata-kata ini.

Mungkin generasi yang lalu tidak diajar untuk mengucapkan kata-kata sayang atau cinta. Namun, bukan bererti tidak sayang atau cinta, cuma ia diterjemahkan dalam perbuatan. Jaga kebajikan ibu bapa, telefon, jaga hati, buat apa yang mereka suka,bawa makan angin dan macam-macam.

Sepatutnya, anak-anak kita dididik dari kecil lagi untuk menyayangi dan menghargai ibu bapa.

Ini lah kata Huda kepada maminya pagi tadi:

"Mami...Selamat Hari Ibu! Huda sayang mami! Terima kasih kerana melahirkan Huda. Terima kasih kerana menjaga Huda." Kalau anda seorang ibu, apa perasaan anda?!!

Bila tiba giliran Adam pulak, dia kata "Adam tak tahu nak cakap....selamat Selamat ari ibu mami!"

........

Jam 3 pagi tadi saya terdengar perbualan seorang pemanggil dengan DJ radio IKIM yang bertugas.

Pemanggil ni anak bongsu dari 9 adik beradik. Dia juga ibu kepada 8 orang anak.

Saya "ghalik" dengar dia bercerita. Antaranya:

"Suami saya ialah seorang anak yang baik kepada ibunya. Dia sentiasa mentaati dan mengutamakan ibunya. Saya beruntung mendapat suami sepertinya. Saya tahu, syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Tapi saya, syurga terletak di bawah telapak kaki suami. Berat tanggungjawab suami saya. Di samping, saya dia kena jalankan tugasnya sebagai seorang anak."

Pemanggil ini juga sentiasa mendorong suaminya untuk menjalankan tugasnya sebagai anak kepada ibubapanya. Memang sah lah dia seorang isteri yang baik. Di samping didikan keluarganya, mungkin ini juga faktornya. Kata pemanggil tersebut "Suami saya lah yang mendidik dan membimbing saya. Peranan suami sangat besar. Kalau baiklah suami, nescaya baiklah isteri."

Apa yang pasti, segala-galanya akan ok, kalau kita hidup berpaksikan ajaran agam kita yang maha suci.

......

Sama-samalah kita renungkan sejenak ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Nabi di bawah ini.

Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."


Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14 yanng bermaksud:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."


Di antara hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan ibu:
"عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ حَيْدَةَ الْقُشَيْرِىِّ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ ، مَنْ أَبَرَّ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أَبَاكَ؟ ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ."
Maksudnya: "Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".
(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

"اَلْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ اْلأُمَّهَاتِ."
Maksudnya: "Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."

No comments: