Tuesday, May 22, 2007

Secebis harapan guru Bahasa Arab

SEPERTI biasa, Hari Guru disambut secara meriah di seluruh negara setiap kali tarikh 16 Mei. Ya! Sesuatu yang tidak dinafikan bahawa Hari Guru merupakan hari untuk kita mengingati jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh insan yang bernama guru.
Pada kali ini perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

Di ruangan ini, mari kita berbicara masalah yang dihadapi oleh guru-guru secara umum dan guru-guru Bahasa Arab secara khusus.

Secara amnya, kenaikan pangkat bagi guru adalah begitu terhad berbanding pegawai sektor awam yang lain. Ini kerana bilangan warga pendidik adalah yang teramai iaitu lebih kurang 320,000 orang.

Di kalangan warga pendidik sendiri pula, sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ialah nasib guru-guru bahasa Arab. Secara dasarnya guru-guru bahasa Arab siswazah dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Guru Pendidikan Islam (PPPS GPI). Mereka diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim).

Sebagai warga Malaysia yang telah mendapat pendidikan agama sejak kecil hinggalah ke peringkat universiti, guru-guru Bahasa Arab (GBA) bersyukur kerana mendapat sesuatu yang berharga iaitu pengetahuan tentang bahasa al-Quran. Berbekalkan sedikit ilmu yang dianggap sebagai kunci ilmu pengetahuan ini mereka boleh menjadikannya sebagai bekalan bermakna dalam meneroka pelbagai ilmu Allah yang sangat luas ini.

Dalam hal ini, GBA bukanlah dikategorikan sebagai guru yang mengejar pangkat, wang, kebendaan material, kemasyhuran dan sebagainya. Apa yang dilakukan oleh GBA adalah semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ini dapat dilakukan dengan menjadikan mengajar bahasa al-Quran kepada mereka yang berminat sebagai profesion utama.

Sehubungan itu, GBA amat bersemangat membantu KPM dalam menjayakan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) terutamanya berkaitan misi memartabatkan profesion perguruan.

Bagaimanapun, hasrat GBA membantu kementerian kurang berhasil. Ini kerana banyak cadangan GBA sukar diterima kerana GBA cuma seorang guru biasa berpangkat rendah.

Walaupun begitu, GBA sebenarnya telah menunjukkan kejayaan yang cemerlang berbanding guru akademik yang lain. Antara beberapa faktor kecemerlangan GBA yang perlu diambil kira oleh pihak kementerian ialah:

1-GBA adalah pemegang biasiswa KPM dalam empat peringkat pengajian bahasa Arab iaitu sarjana muda, diploma pendidikan, sarjana dan ijazah kedoktoran.

2-GBA merupakan bekas pelajar yang cemerlang di peringkat SPM . Mereka melanjutkan pelajaran ke tahun satu Fakulti Bahasa Arab di beberapa buah negara Arab walaupun cuma belajar Bahasa Arab selama lima tahun (tingkatan satu hingga lima).

3-GBA memulakan perkhidmatan pendidikan dengan ijazah sarjana muda kepujian dan diploma pendidikan ketika berumur 22 tahun. Ini kerana mereka tidak melalui matrikulasi atau STPM atau pra 'U' dan meneruskan diploma pendidikan sebaik tamat sarjana muda. Oleh itu senioriti mereka adalah lebih tinggi berbanding guru akademik biasa yang memulakan perkhidmatan ketika berumur 25 tahun.

4-Di sekolah, GBA boleh mengajar subjek lain seperti Pendidikan Islam, Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Inggeris dan lain-lain jika diperlukan. Dalam hal ini, adakah guru akademik boleh mengajar Bahasa Arab?

5-Walaupun GBA tidak dibekalkan dengan komputer berbanding guru sains, matematik dan bahasa Inggeris, mereka masih mampu menghasilkan bahan bermutu seperti buku teks, akbar, majalah, rakaman radio dan laman web bahasa Arab. Perlu diingatkan juga GBA sebenarnya menghadapi masalah kerana kebanyakan kedai siber tidak menyediakan program bahasa Arab dan jawi. Oleh itu GBA yang berinovasi telah menukarkan masalah tersebut kepada peluang.

6- GBA sangat diperlukan perkhidmatannya di peringkat antarabangsa oleh pelbagai pihak di luar kementerian. Antaranya, Tabung Haji yang menawarkan jawatan Guru Agama di tanah suci kepada GBA. Perkhidmatan GBA yang cemerlang sebagai petugas haji di tanah suci juga diakui sendiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran baru-baru ini.

7-Hasil inovasi GBA mendapat penganugerahan dari dalam dan luar KPM. Antaranya Guru Inovatif dari Pusat Perkembangan Kurikulum dan Tokoh Inovasi mengikut prinsip Islam Hadhari sempena sambutan hari kebesaran Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

8-GBA juga berjaya mengembangkan bahasa Arab walaupun diarahkan bertugas di sekolah yang tidak menawarkan subjek tersebut. Usaha GBA tersebut adalah bertepatan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar berfikir di luar kotak. Hasilnya memang sungguh memberansangkan apabila pembelajaran Bahasa Arab mula menarik minat bangsa Cina dan India.

Sehubungan itu, sempena Hari Guru ini, KPM diharap dapat meletakkan kepakaran GBA sesuai dengan tempat yang selayaknya. Permudahkanlah urusan kenaikan pangkat Guru Cemerlang (GC) Bahasa Arab.

Setakat tahun 2006, bilangan GC Bahasa Arab tidak melebihi tujuh orang di seluruh Malaysia. Ia amat sedikit berbanding subjek lain. Sebenarnya bukan tidak ramai GBA yang memohon tetapi syarat yang tidak relevan menghalang mereka.

Bayangkan bagaimana seorang guru siswazah Bahasa Arab yang telah berkhidmat selama lebih 15 tahun masih dianggap tidak layak dilantik sebagai GC walaupun telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Antaranya ialah memperoleh sarjana muda, diploma pendidikan, sarjana dan ijazah kedoktoran dalam Bahasa Arab.

Kesemua peringkat pengajian tersebut ditaja oleh Bahagian Biasiswa kementerian. Guru tersebut juga adalah penulis dan jawatankuasa kawalan mutu beberapa buah buku teks KBSM di samping terlibat secara aktif dalam pembinaan kurikulum Bahasa Arab.

Selain itu, beliau juga satu-satunya guru agama yang lulus dalam peperiksaan PTK yang pertama 2003 di salah sebuah negeri. Prestasi markah beliau di sekolah setiap tahun juga melebihi 90 peratus.

Beberapa anugerah sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan berkaitan inovasi dalam bidang yang berkaitan juga diterima untuk beberapa tahun berturut-turut.

Kepakaran bahasa Arab turut dikongsi bersama oleh masyarakat setempat atau beberapa organisasi lain seperti Tabung Haji, universiti, media sama ada cetak mahupun elektronik dan lain-lain lagi.

Walaubagaimanapun, disebabkan guru tersebut tidak mengajar di sekolah yang menawarkan subjek Bahasa Arab, maka secara automatik beliau dianggap tidak layak memohon GC Bahasa Arab.

Ini suatu syarat yang boleh dipinda kerana guru tersebut telah diarahkan oleh Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) untuk berkhidmat di situ, walaupun beliau pernah merayu ditempatkan di sekolah yang menawarkan subjek Bahasa Arab. Dalam hal ini, guru tersebut telah menurut arahan PPD walaupun arahan tersebut tidak menepati visi dan misi Bahagian Biasiswa KPM sendiri.

Kementerian juga harus mengambil iktibar daripada kisah seorang profesor berbangsa Turki, Prof. Dr. Fuat Zeghzin, 83. Beliau adalah pakar sains tamadun Islam yang bertanggungjawab membawa pameran Tamadun Islam pada awal Januari lalu ke Pusat Sains KLCC.

Walaupun dianggap pakar sains, beliau sebenarnya bukanlah pemegang ijazah sains tulen. Beliau pada hakikatnya merupakan pemegang ijazah kedoktoran dalam bidang Bahasa Arab ketika berumur 40 tahun. Beliau berjaya membuktikan bahawa bahasa Arab adalah kunci ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Oleh kerana Kerajaan Turki kurang menghargai kepakarannya, maka Kerajaan Jerman terus menyambar kepakarannya dengan menawarkan jawatan yang menarik.

Bayangkan bagaimana Jerman memanfaatkan kepakarannya selama lebih 40 tahun. Turki yang tidak mengambil manfaat daripada kepakaran warganya sendiri kini hanya mampu menggigit jari akibat kesilapan sendiri.

Selamat Hari Guru. 'Guru Penjana Modal Insan Gemilang'.

Guru dan peluang (16 jenis guru sempena Hari Guru 16 Mei)

* Yang berminat menjadi guru menghidu peluang.
* Bakal guru mencari peluang.
* Guru sandaran merebut peluang.
* Guru biasa mengambil peluang.
* Guru bermasalah mensia-siakan peluang.
* Guru yang tidak minat membaca tidak mengenali apa itu peluang.
* Guru tidak bermotivasi membiarkan sahaja berlalunya satu peluang.
* Guru bermotivasi mengintai-intai peluang.
* Guru yang bersyukur memanfaatkan peluang.
* Guru kaunselor berbicara soal peluang.
* Guru perunding menilai peluang
* Pensyarah (bekas guru) membentang kajian tentang peluang.
* Guru inovatif menukarkan masalah menjadi peluang.
* Guru cemerlang meneroka peluang.
* Guru gemilang memberi peluang.
* Guru terbilang mencipta peluang
Yang pasti, selagi kita hidup, Allah sentiasa menganugerahkan peluang.

Dipetik dari email yang diforwardkan ke e-group GBA-Malaysia.

No comments: